Shahmi mama...

Daisypath - Personal pictureDaisypath Happy Birthday tickers

Utusan Malaysia : 15 Mac 2009

Budayakan minat membaca
Oleh SYED RIDZUWAN SYED ISMAIL

utusanperlis@utusan.com.my




KANGAR15 Mac - Usaha membudayakan dan menarik minat membaca di kalangan kanak-kanak perlu dimulakan sejak mereka kecil lagi.
Ini untuk memboleh mereka menjadikan ilmu sebagai sebahagian budaya hidup.
Pepatah Melayu yang menyebut melentur buluh biar dari rebungnya perlu dipraktikkan bagi memastikan kanak-kanak membiasakan diri dengan tabiat membaca.
Oleh itu, kanak-kanak perlu didekatkan dengan perpustakaan yang menjadi gedung ilmu dalam memperoleh bahan bacaan sebanyak mungkin.
Menyedari pentingnya usaha membawa kanak-kanak itu mendekatkan diri dengan perpustakaan, Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi) melalui pengerusinya, Dr. Soraya Azmi mengilhamkan Program Suluh Bacaan.
Program ini diadakan dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Perlis (PPANPs) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sebagai penggerak program ini.
Dr. Soraya berkata, Program Suluh Bacaan itu bertujuan memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun dan ke bawah terutama membabitkan kanak-kanak luar bandar.
Katanya, ia juga sebagai usaha memupuk sifat meneroka dan mengembangkan tahap kreativiti kanak-kanak melalui aktiviti membaca melalui kaedah-kaedah yang menarik iaitu mengikut psikologi kanak-kanak dan juga untuk melahirkan generasi muda yang cintakan ilmu dan mempunyai jati diri.
”Melalui program ini ibu bapa boleh menghantar anak-anak mereka secara percuma di perpustakaan desa yang ditetapkan untuk mengikuti program ini yang dijalankan secara percuma.
”Program ini dikembangkan oleh sukarelawan UniMAP, PPANPs, Puteri UMNO Padang Besar dan sukarelawan Pertiwi sendiri,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Pelancaran program itu oleh Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Seri Azmi Khalid yang mewakili Menteri Besar Perlis, Datuk Seri. Dr. Md. Isa Sabu di Perpustakaan Cawangan Padang Besar, baru-baru ini.
Menurut Dr. Soraya, projek perintis itu membabitkan lima kawasan dalam Parlimen Padang Besar iaitu Perpustakaan Desa Kampung Bongkok, Perpustakaan Desa Lubuk Sireh, Perpustakaan Desa Batu Bertangkup, Perpustakaan Desa Kampung Oran dan Perpustakaan Cawangan Padang Besar.
”Program ini juga bertujuan mempromosikan perpustakaan desa sebagai gedung ilmu yang mesra kanak-kanak dan masyarakat.
”Secara langsung program ini juga menyediakan pengisian dan aktiviti yang berfaedah kepada kanak-kanak yang bakal melalui alam persekolahan,” ujarnya.
Dr. Soraya berkata, sehingga kini terdapat lebih 80 orang sukarelawan yang terdiri dari pelajar dan kakitangan perpustakaan UniMAP, kakitangan PPANPs, ahli Pertiwi dan ahli Puteri UMNO Padang Besar.
”Kita berharap pada masa depan program ini dapat diperbesarkan ke kawasan Parlimen lain di Perlis bagi membolehkan kanak-kanak diberikan pendedahan untuk mendekatkan diri dengan perpustakaan dan bahan bacaan.
”Pihak Pertiwi mendapat sokongan yang menggalakkan daripada UniMAP dan PPANPs dalam melaksanakan program ini,” jelasnya.
Katanya, dalam program ini pengisian secara kreatif diambil bagi memupuk minat kanak-kanak mengikut psikologi mereka.
”Aktiviti seperti bercerita yang dilakukan oleh sukarelawan sangat berkesan kerana cerita-cerita disampaikan dalam bentuk yang mudah, berjenaka, lembut dan diselitkan dengan komunikasi dua hala.
”Pada akhir cerita, teladan mengenai cerita itu akan diselitkan dan kadang-kala dengan kaedah khas kanak-kanak itu diminta untuk bercerita.
Kaedah ini secara tidak langsung dapat membina keyakinan diri kanak-kanak tersebut,” ujarnya.
Menurutnya, selain bercerita kanak-kanak ini juga melibatkan cara yang tidak membosankan iaitu mengadakan kerusi muzik, origami (seni lipatan kertas), boneka, mengenal jawi, kolaj bijirin, menjemput selebriti (pelawak).
”Jika dilihat dari sudut yang lain juga program ini dapat menggalakkan semangat sukarela dalam kalangan masyarakat terutama mendidik kanak-kanak di peringkat awal sebelum persekolahan.
”Penglibatan pelajar UniMAP contohnya adalah sesuatu yang amat baik kerana mereka dapat menonjolkan kebolehan diri berkomunikasi dengan kanak-kanak dan mempraktikkan apa yang dipelajari,” ujarnya.
0 Responses